Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Toleransi Sifar Keganasan @Advokasi Antigangguan Seksual KPWKM 2024 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang, hari ini.

KAJANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima sebanyak 96 permohonan tuntutan anak diterima melibatkan lebih 200 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global, GISB Holdings (GISBH).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sedang meneliti semua permohonan dan dalam proses memohon kepada mahkamah untuk mengembalikan anak-anak kepada ibu bapa mereka.

“Penelitian perlu dilakukan untuk memastikan jika penuntut ialah benar-benar ibu bapa kepada anak-anak tersebut.

“Permohonan mahkamah perlu dilakukan kerana apabila kita hendak melindungi mereka ini di bawah kita, juga melalui proses mahkamah kerana tertakluk kepada akta dan ia tidak dilakukan tanpa melalui mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Toleransi Sifar Keganasan @Advokasi Antigangguan Seksual KPWKM 2024 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini, hari ini.

Sehingga kini, seramai 560 kanak-kanak, terdiri daripada 283 lelaki dan 277 perempuan, telah ditempatkan di pusat perlindungan setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah. 

Perintah tersebut dikeluarkan bagi tempoh dua bulan mengikut Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, jika terdapat sebarang kecederaan terhadap kanak-kanak tersebut, mereka akan diberikan rawatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan kembali kepada ibu bapa mereka.

“Percayalah, saya amat memahami terutama sekali kepada ibu-ibu, saya akan pastikan proses dipercepatkan,” katanya.

Pada 11 September lalu, polis bersama beberapa agensi lain telah melancarkan Op Global, yang berjaya menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja, berusia antara setahun hingga 17 tahun. 

Kesemua mereka disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua lagi di Negeri Sembilan dan serbuan tersebut telah mendedahkan berlakunya pengabaian terhadap kanak-kanak dan remaja yang tinggal di rumah amal terbabit. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here