Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang kes pecah rumah di Dewan De Cerana, IPK Selangor, Shah Alam. Foto: NIZAM ZAIN, 17 OKTOBER 2024

SHAH ALAM – Polis menahan seorang lelaki di Kota Tinggi, Johor pada 9 Oktober bagi membantu siasatan kes pecah rumah membabitkan kerugian wang tunai RM300,000 serta 16,600 China Yuan di Seksyen U13 di sini pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu ditahan pukul 2.15 pagi oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Tangkapan suspek Melayu berumur dalam lingkungan 33 tahun bekerja sendiri dan mempunyai satu rekod jenayah.

“Turut dirampas bersama suspek iaitu wang tunai RM210,000; wang tunai 16,760 China Yuan, seutas rantai leher emas, dua utas gelang tangan emas dan sebentuk cincin emas.

“Turut dirampas sepasang kasut dan sandal jenama Louis Vuitton, sepasang kasut jenama Balenciaga, dua utas jam tangan jenama Rolex dan Tag Heuer dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang digunakan sewaktu kejadian,” katanya.

Sebelum ini, IPD Shah Alam menerima satu laporan polis yang dibuat oleh mangsa pukul 1.26 petang pada 6 Oktober.

Katanya, kejadian pada 6 Oktober jam lebih kurang pukul 2.47 pagi, semasa mangsa bangun daripada tidur menyedari pintu belakang rumahnya dalam keadaan tidak berkunci.

“Mangsa telah membuat pemeriksaan CCTV dapati rumahnya telah dimasuki oleh satu lelaki bangsa tidak pasti memakai pakaian berwarna hitam dan bersarung muka.

“Mangsa mengalami kerugian wang tunai milik syarikat dan milik peribadi berjumlah RM300,000 termasuk wang tunai mata wang China berjumlah Yuan 16,600,” katanya.

Selain itu, Hussein berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan cara memanjat masuk ke dalam kawasan rumah mangsa melalui pagar belakang rumah.

“Suspek kemudiannya telah membuka tingkap tandas bilik tidak berkunci yang berada di bahagian tingkat bawah lalu masuk ke dalam rumah.

“Selepas mengambil wang tunai, suspek keluar melalui pintu dapur,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya jika disabitkan dengan kesalahan.

“Suspek telah dituduh di mahkamah Shah Alam di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada 16 Oktober lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here