Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Dewan De Cerana, IPK Selangor, Shah Alam. Foto: NIZAM ZAIN, 17 OKTOBER 2024

SHAH ALAM – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun hampir menjadi mangsa sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu, urus niaga ‘menjual’ mangsa kepada sindiket pelacuran cuba diatur salah seorang dari enam suspek selepas mangsa dilarikan dan dicabuli di sebuah apartmen yang disewa di Setia Alam di sini pada 8 Oktober lalu.

“Mangsa ini telah dibawa ke satu apartmen yang mereka sewa dan di sana mangsa telah dicabul secara seksual selama empat hari sewaktu dia ditahan dalam rumah sewa tersebut.

“Hasil maklumat pihak polis, kita menangkap enam orang di mana dua dari mereka terlibat dalam mencabul mangsa  dan satu dari mereka iaitu ketua kumpulan itu berusaha untuk menjual mangsa ini kepada sindiket pelacuran.

“Mangsa ini diusahakan untuk dijual kepada sindiket pelacuran di kawasan Chow Kit. Apabila pihak polis menguar-uarkan berita kehilangan ini, sindiket tak jadi beli, jadi mangsa disuruh balik (rumah),” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, pada 8 Oktober lalu ditemukan dalam keadaan selamat pukul 2.30 petang pada 12 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, hasil siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di premis berdekatan mendapati kanak-kanak itu berjalan sebelum menaiki sebuah Perodua Myvi dipercayai diculik.

Katanya, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik mana-mana orang atau dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

Selain itu, Hussein juga memberitahu, dua dari enam suspek yang ditahan polis berumur 13 dan 23 tahun dikenal pasti melakukan pencabulan ke atas mangsa sepanjang empat hari ditahan.

“Budak 13 tahun itu, dia salah seorang yang mencabul kanak-kanak perempuan itu bersama seorang lelaki berusia 23 tahun. Dikhabarkan dia diberikan vape yang mengkhayalkan, lepas itu baru dia dicabul.

“Bagaimanapun ujian air kencing mangsa didapati negatif,” katanya.

Hussein berkata, oleh kerana urusniaga untuk melacurkan kanak-kanak itu gagal, suspek menghantar mangsa pulang ke rumah dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing dipercayai Grab.

“Sebelum balik, mangsa tinggal lagi satu malam, esok baru balik. Mangsa dihantar melalui Grab, salah seorang suspek tempah Grab, hantar dia balik,” katanya.

Katanya, polis juga sedang mengesan dua suspek yang dipercayai sindiket pelacuran sekitar Chow Kit yang berususan untuk menjual mangsa sebelum ini.

“Kalau kita dapat dua orang ini mungkin kita tahu (harga ditawarkan) tapi urusniaga itu tidak berlaku, tak jadi sebab budak ini kita sudah uar-uarkan cerita dia,” katanya.

Ketika ditanya tentang kejadian itu berlaku, Hussein memberitahu, mangsa mengenali dua dari enam suspek yang berada di dalam kereta sebelum kanak-kanak itu bersetuju mengikut mereka.

“Dua dari enam orang yang ditangkap itu dia (mangsa) kenal. Dia kenal salah seorang dari enam orang itu, suspek adalah bekas teman wanita abang dia.

“Sebab itu pada awalnya dia nak ikut sebab ada perempuan dalam kereta itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast