Gambar hiasan

PULAU PINANG – Seorang pakar kewangan, menjangkakan ringgit berpeluang besar untuk memanjat ke tahap 4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Dr. Ch’ng Huck Khoon berkata kepada Kwong Wah Yit Poh, selepas krisis gadai janji subprima di Amerika Syarikat pada 2008, kadar tukaran ringgit pernah melonjak ke RM2.98 berbanding satu dolar Amerika Syarikat pada 2010.
Keadaan itu sekali gus menunjukkan pemanjatan ringgit ke RM4 berbanding satu dolar Amerika bukan mustahil.
Huck Khoon berkata, kemungkinan ringgit naik ke tahap 4.0 pada kali ini adalah didorong oleh dua faktor.
Katanya,  faktor pertama adalah penurunan kadar dolar telah berlaku secara global, bukan ke atas ringgit sahaja, tetapi juga melibatkan mata wang lain.”Faktor kedua adalah Malaysia Madani telah menampakkan hasil, walaupun ramai orang masih tidak sedar mengenai hal ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada Julai dan ini merupakan satu strategi besar.

“Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui merupakan cara terbaik untuk memenuhi piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Tenaga boleh diperbaharui boleh dikatakan merupakan enjin pertumbuhan baharu untuk Malaysia dan kami juga berjaya menarik kemasukan ramai pelaburan pusat data,” katanya.

Dalam pada itu, Huck Khoon berkata, rasionalisasi minyak diesel yang dilakukan juga mengukuhkan keyakinan terhadap Malaysia.

Beliau berkata, keadaan sesebuah negara adalah seperti sebuah syarikat awam di mana apabila hasilnya meningkat dan berlebihan, maka harga saham juga akan meningkat, tetapi keadaan sebaliknya akan berlaku jika hasil syarikat menurun.

Katanya, tidak mudah untuk menurunkan defisit, tetapi Anwar melakukannya dengan berani dan hasilnya adalah sangat baik, malahan di luar jangkaan ramai.

” Bagi pelabur asing, Malaysia mempunyai ringgit yang stabil, inflasi yang rendah dan menyediakan peluang pelaburan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here