Paras air di kwasan Pasar Awam Mentakab semakin meningkat disebabkan limpahan air Sungai Semantan

KUANTAN – Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Temerloh berikutan kejadian banjir sejak lima hari lalu.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Pahang memaklumkan, PPS Tapak Pemindahan Kampung Gantok dibuka pagi ini bagi menempatkan enam individu daripada dua keluarga yang terjejas akibat banjir.

PPS Balairaya Mempateh yang menempatkan 32 individu daripada tujuh keluarga pula dilaporkan telah ditutup pagi ini dimana kesemua mangsa banjir telah dibenarkan pulang.

Setakat jam 9 pagi tadi, seramai 1,662 penduduk daripada 501 keluarga di daerah tersebut masih terjejas dan ditempatkan di sembilan buah PPS iaitu SK Lanchang, Masjid Kampung Bongsu, Dewan SMK Sri Semantan, SK Desa Bakti, SK Mentakab (Chatin), SK Bukit Cermin, SMK Mentakab, SMK Bukit Cermin dan Tapak Pemindahan Kampung Gantok.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan aras air di Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub telah melebihi tahap waspada pagi ini, namun menunjukkan trend menurun.

Manakala aras air di Sungai Triang di jambatan keretapi dan Sungai Triang di Triang, Bera serta Sungai Semantan di jambatan keretapi Mentakab, Temerloh pula telah melebihi tahap amaran. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here