Suasana di hadapan bangunan Hosptial Kuala Lumpur berikutan protes doktor kontrak di Hosptial Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 03 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – MCA menyifatkan sistem on-call semasa bagi doktor memerlukan satu pembaharuan yang mendesak bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat untuk para doktor, sekali gus meningkatkan keselamatan pesakit.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, syif bekerja selama 30 jam dalam kalangan doktor bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan profesional kesihatan tetapi turut memberi risiko besar kepada penjagaan pesakit.

Jelas beliau, apabila para doktor dan pekerja kesihatan mengalami keletihan, keupayaan mereka untuk mendiagnosis dengan tepat dan melakukan pembedahan dengan selamat boleh dipersoalkan, yang secara langsung menjejaskan kualiti rawatan terhadap pesakit.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Selain itu, katanya, tekanan yang semakin meningkat yang dialami doktor, yang diburukkan lagi dengan imbuhan tidak mencukupi dan kekurangan kakitangan, menyebabkan peningkatan yang membimbangkan dalam masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Cabaran-cabaran ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan doktor, tetapi turut mengurangkan masa mereka untuk bersama keluarga, tiada keseimbanga antara kerja dan kehidupan peribadi, kepuasan kerja yang merosot selain turut menyumbang kepada potensi penghijrahan tenaga pakar dalam sektor kesihatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hang Soon berpandangan, waktu ideal untuk syif on-call bagi doktor seharusnya tidak melebihi 12 hingga 16 jam, meskipun kumpulan doktor sebelum ini ada menuntut supaya syif on-call maksimum sekurang-kurangnya tidak melebihi 24 jam.

Jelas beliau, perubahan itu dapat memastikan doktor mendapat rehat yang mencukupi dan mampu memberikan penjagaan terbaik serta memberikan diagnosis dan rawatan yang paling tepat tanpa menjejaskan kesihatan mereka.

Katanya, sistem syif juga mungkin menjadi penyelesaian yang lebih cekap yang disokong dengan penambahan tenaga kerja untuk memenuhi tuntutan penjagaan pesakit dengan lebih berkesan.

“Kami menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi perhatian terhadap isu ini bagi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih berperikemanusiaan dan mampan yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Tambah beliau, Belanjawan 2025 yang akan diumumkan esok juga, diharapkan dapat memberi keutamaan kepada penambahbaikan imbuhan untuk doktor kerajaan.

Ia katanya, termasuk menangani pengagihan sumber kesihatan yang tidak seimbang serta menaik taraf peralatan perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan.

“Tenaga kerja yang dibayar dengan setimpal, mempunyai kakitangan mencukupi dan mempunyai akses kepada peralatan perubatan yang moden adalah penting untuk memastikan semua pesakit menerima perkhidmatan penjagaan berkualiti tinggi yang selayaknya buat mereka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan permintaan sekumpulam doktor untuk mengurangkan syif on-call kepada jam yang lebih berperikemanusiaan selepas mendakwa perlu bersedia dalam tempoh 30 jam.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu meskipun ia tidak berlaku di semua tempat. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here