Hampir 400 ahli pengakap terdiri daripada 21 buah sekolah rendah dan menengah di daerah Kuantan memberi tanda hormat pengakap selepas menonton filem Rezza GTR di GSC Cinema di Kuantan hari ini

KUANTAN – Seramai 400 ahli pengakap bertepuk pengakap dalam panggung wayang ketika menonton filem Rezza GTR yang memaparkan elemen kepengakapan.

Aksi solidariti itu dibuat bersama teraju utama filem berkenaan, Alif Satar ketika menonton bersama-sama ahli pengakap dari 21 sekolah rendah dan menengah di daerah Kuantan semalam.

Tidak ketinggalan kehadiran pengarah filemnya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersama Sekretariat Pengakap Kelana Pahang memeriahkan tayangan perdana itu.

Kejutan di layar panggung dengan kemunculan Alif Satar menggamatkan suasana kepada semua penonton yang lengkap beruniform dan skaf pengakap bertepuk pengakap bersama-sama.

”Tepuk-tepuk pengakap, sekali lagi. Alhamdulillah susun atur rezeki dapat bersama ahli pengakap di Kuantan, bersyukur dengan sokongan ahli pengakap ini penuh panggung cukup istimewa.

“Bila kita sebut unit beruniform sebenarnya bermula dari pengakap zaman sekolah dan filem ini sesuai disaksikan bersama keluarga.

“Sebuah filem kena ada pelan tak boleh nak syok sendiri, menariknya ia ada tentang kekeluargaan dan prinsip asas pengakap dan di Malaysia ada lebih 800,000 ahli pengakap,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazatte.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kuantan (Latihan) Mohd Zamri Mohd Hashim menyerahkan skaft pengakap ikatan persahabatan kepada Alif Satar sebagai tanda penghargaan

Ujar Mohd Alif Mohd Satar yang juga menjadi ahli pengakap darat ketika umurnya sembilan tahun itu berkata, elemen yang diketengahkan dalam filem itu termasuk persahabatan dan cara survival dalam kehidupan.

Bagi Ahmad Idham, beliau terpanggil untuk meletakan latar pengakap dalam filem itu berdasarkan penceritaan Rezza sebagai ahli unit beruniform itu.

“Saya mencarikan kelainan setiap dimensi kerana sebelum ini sudah buat budak rempit jadi kali apa kata saya buat budak pengakap.

”Kerana saya dulu budak pengakap juga, saya dapati orang ada asas kurikulum begitu dekat kehidupan mereka, prinsip latihan asas itu akan tersemat dalam jiwa,” katanya.

Usai tayangan itu, Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kuantan (Latihan) Mohd Zamri Mohd Hashim menyerahkan skaf pengakap ikatan persahabatan kepada pelakon dan pengarah filem berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here