KUALA LUMPUR – Sebanyak 53 kes berkaitan pensijilan halal direkodkan dalam tempoh sembilan bulan sejak 1 Januari hingga 30 September lalu, melibatkan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1.81 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara kesalahan yang dilakukan berkaitan penggunaan logo halal palsu, tidak menggunakan perakuan halal daripada pihak berkuasa berwibawa dan sebagainya.
“Kita berharap semua pihak dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan denda maksimum RM500,000 bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya.
Selain itu, denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas individu.
Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN telah melaksanakan pindaan ke atas Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang diwartakan pada 4 Oktober lalu dan mula berkuat kuasa pada 5 Oktober.
Jelasnya, pindaan itu adalah berhubung penambahan senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bertujuan untuk mengemas kini senarai badan terlibat.
Katanya lagi, Jakim mengiktiraf tambahan lima badan pensijilan halal luar negara pada tahun ini iaitu masing-masing satu dari Brazil, Mongolia dan Uruguay serta dua dari Rusia, menjadikan jumlah keseluruhan badan berkenaan adalah sebanyak 88 pihak berautoriti merangkumi 49 negara di seluruh dunia.
Sehubungan itu, beliau turut berharap agar pewartaan pindaan tersebut dapat memperkasakan perundangan dan industri halal negara selain, melindungi kepentingan pengguna terutama yang beragama Islam. – MalaysiaGazette