Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying bergambar bersama beg yang mengandungi dokumen Belanjawan bagi tahun 2025 sebelum menuju ke Bangunan Parlimen, di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak dari bangunan Perbendaharaan, di Putrajaya ke Parlimen pukul 3.17 petang ini untuk pembentangan Belanjawan 2025.

Bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraftangan tempatan untuk membawa dokumen penting Belanjawan 2025.Ahli Parlimen Tambun itu segak berpakaian baju Melayu lengkap warna putih, bersampin songket warna coklat dan berkasut.

Turut mengiringi beliau Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Sebelum memulakan perjalanan, majlis didahulu dengan bacaan doa.

Pada 7 Oktober lalu, Anwar telah menandatangani dokumen rasmi Belanjawan 2025 dan dilapor berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan menaikkan tahap pendapatan.

Katanya, isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesan.

Pembentangan di Dewan Rakyat dijadual bermula jam 4 petang ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.