KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Dewan Rakyat bagi membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani.
Belanjawan tahunan kali ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan dibentangkan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan, media sosial serta laman YouTube Parlimen.
Belanjawan 2025 bertemakan Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diiring Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusuf dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu menyatakan keyakinan terhadap Belanjawan 2025 selepas menandatangani dokumen rasmi belanjawan itu di Kementerian Kewangan.
Belanjawan 2025 juga dijangka memberi tumpuan kepada meningkatkan siling ekonomi menerusi penyusunan semula ekonomi melalui peralihan hijau, meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, menarik pelaburan, serta mempromosikan inovasi dan digitalisasi khususnya dalam kalangan perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PMKS).
Anggaran saiz Belanjawan 2025 dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM403.5 bilion, terutama akibat kenaikan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.
Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.
Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 yang bakal dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin ini (21 Oktober) sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November.
Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan Rang Undang-Undang itu di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 November. – MalaysiaGazette