Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyambut baik Belanjawan 2025 yang diumumkan sebagai satu langkah memacu pertumbuhan insklusif, tanggungjawab fiskal dan keadilan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, belanjawan itu mampu mengukuhkan lagi komitmen kerajaan dalam usaha pembangunan mampan selain memastikan kesaksamaan untuk semua.

Katanya, langkah utama yang diambil termasuk perbelanjaan pembangunan yang kukuh sebanyak RM86 bilion bagi mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada tahun depan.

“Komitmen kerajaan untuk mempergiatkan usaha menentang penipuan dalam talian yang peruntukan RM20 juta kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan pelancaran Portal Fraud Kebangsaan, antara langkah penting ke arah memperkukuh keselamatan digital.

“Bank Islam menjangka sebanyak 50 peratus pengurangan kerugian akibat penipuan menjelang akhir tahun 2024 hasil daripada langkah pencegahan penipuan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kami juga menyokong dana RM100 juta kerajaan untuk memacu inovasi dalam kewangan Islam yang akan membantu mencipta produk berdasarkan prinsip Islam yang sebenar.

“Ia seperti musharakah (perkongsian risiko) dan pengagihan keuntungan yang saksama di luar penawaran patuh syariah biasa malah selaras dengan fokus Bank Islam terhadap kewangan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Muazzam, sebagai institusi kewangan Islam yang memberikan perkhidmatan selama 41 tahun pada masyarakat, Bank Islam teruja dengan sokongan berterusan kerajaan terhadap inisiatif iTEKAD.

Katanya, peruntukan RM20 juta geran padanan dengan RM5 juta yang dikhususkan untuk caruman insurans atau takaful untuk usahawan mikro mampu mengukuhkan lagi usaha mereka meningkatkan dan memperkasakan segmen ekonomi penting itu.

“Kami percaya inisiatif Belanjawan 2025 yang dicadangkan ini bukan sahaja akan menangani cabaran ekonomi dan fiskal utama malah meletakkan asas untuk kemampanan jangka panjang ekonomi Malaysia.

“Ini mencerminkan komitmen untuk memupuk kemakmuran bagi semua rakyat Malaysia, memastikan tiada yang ketinggalan dalam perjalanan menuju masa depan lebih saksama yang berkembang maju melalui keterangkuman dan kejayaan bersama,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here