Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian apabila banyak memetik ungkapan beberapa penyajak terkenal.

Anwar dalam ucapan pembentangan itu mengungkap petikan daripada Confucuis dalam The Analects yang berkisar tentang etik, moral, politik selain memberi tumpuan tentang pentingnya kebajikan peribadi dan tadbir urus.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, subsidi daripada segi prinsip seperti mana juga sedekah tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan kaya.

“Selama ini, kita membelanjakan subsidi secara pukal untuk bahan api, elektrik, air, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan hatta barangan asas seperti ayam.

“Pastinya pendekatan sedemikian tidak munasabah tatkala negara terhimpit dengan bebanan hutang dan asas hasil yang rendah.

“Seperti yang diungkapkan dengan bijaksana oleh Confucius dalam The Analects (Guò ér bù gǎi, shì wèiguò yǐ). Jika berlaku kesilapan, dan kita tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar,” kata Anwar.

Mengambil kesan positif ungkapan itu, ujar Perdana Menteri, kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani menyasarkan subsidi supaya tidak lagi dibelanja secara pukal.

“Langkah ini telah membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain,” katanya.

Anwar turut memetik puisi nulikan Datuk Seri A Samad Said berjudul ‘Langkah Lestari’ dalam perbentangan Belanjawan di bawah skop Ikhtiar 26: Perlindungan Khazanah Alam yang berkisar kepada menyokong usaha kerajaan negeri melindungi hutan dan hidupan liar.

“Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) ditingkatkan kepada RM250 juta, ketimbang RM200 juta bagi menyokong usaha negeri melindungi hutan dan hidupan liar.

“Kriteria pengagihan EFT ditetapkan semula iaitu 50 peratus peruntukan yang diagihkan tertakluk kepada prestasi perbelanjaan Kerajaan negeri, ketimbang 30 peratus pada masa ini,” jelas Anwar.

Turut dimuatkan adalah Surah Al-Balad ayat 12 hingga 17 yang berkisar tentang jalan sulit untuk menuju kebaikan dan petunjuk bagi manusia melakukan perbuatan baik.

Jelas Anwar, mengajar manusia meskipun perbuatan baik sering kali menuntut usaha dan pengorbanan yang besar dan memberikan manfaat kepada orang lain.

“Tanggungjawab pemimpin dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat dengan penuh amanah dan keikhlasan bagi membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan dan belenggu, sekali gus mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi dan terpuji.

“Peringatan tersebut selaras dengan seruan ayat al-Quran dalam surah al-Balad yang memerintahkan agar membebaskan manusia dari segala belenggu perhambaan dan penindasan demi mencapai matlamat kebahagian dan kesejahteraan hidup yang sebenar,’ kata Anwar.

Anwar turut memetik beberapa bait sajak berjudul Anak Muda oleh penyair Indonesia, W.S. Rendra.

“Jika ditelaah, akan terjentik dhamir untuk mendamba perubahan dan mencerna reform agar pendidikan lebih bermutu dan mampu memberi pencerahan di samping serta mendamba pemikiran kritis,” jelas Anwar.

Pada perbentangan Belanjawan 2025, Anwar turut memetik petikan karya klasik Tamil oleh Thirukural yang terdapat dalam Thunbam Ozhukudhal (Cara menghindarkan kesedihan) daripada Kural 734.

Anwar berkata, petikan itu merujuk kepada tanggungjawab pemimpin dan kerajaan untuk membangunkan sebuah negara yang bukan sahaja komited mengangkat martabat kehidupan rakyat yang miskin dan daif, bahkan untuk membasmi wabak penyakit dan musuh yang membinasakan.

Belanjawan 2025 Malaysia, juga dikenali sebagai Bajet Madani 2025, bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Ia memberi tumpuan kepada merancakkan pertumbuhan ekonomi, menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Bajet ini adalah kesinambungan kepada kerangka Ekonomi Madani yang bertujuan untuk meningkatkan siling potensi ekonomi negara sambil memastikan lantai mutu kehidupan rakyat meningkat, terutama golongan yang terpinggir seperti masyarakat di pedalaman dan miskin bandar.

Beberapa aspek penting Belanjawan 2025 termasuk peningkatan pendapatan rakyat, pemerkasaan sektor kesihatan dan pendidikan, dan penambahbaikan tadbir urus awam untuk memerangi rasuah dan memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam.

Bajet ini juga menekankan transformasi digital, pendigitalan ekonomi, serta sokongan untuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast