KERAJAAN dijangka membentangkan Belanjawan 2025 dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu melebihi RM400 bilion, petang ini.
Bertemakan Merealisasikan Ekonomi Madani Melalui Lonjakan Reformasi, Belanjawan 2025 bukan sekadar menoktahkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tetapi juga menjadi landasan untuk terus memacu pertumbuhan dan inovasi dalam RMK13.
Setiap usul yang bakal dibentangkan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara dan dalam masa yang sama membawa aspirasi rakyat bahawa kemakmuran negara perlu dinikmati bersama.
Meneliti setiap ucapan dan tindakan Perdana Menteri yang sering mahu melindungi kumpulan berpendapatan rendah dan golongan rentan, mudah untuk menjangkakan Belanjawan 2025 ini akan dihiasi dengan pelbagai bantuan tunai dan insentif untuk menangani kos sara hidup golongan tersebut.
Isu-isu seperti harga barang yang tinggi, kos pendidikan serta perumahan yang tidak mencukupi pastinya turut akan ditangani dalam Belanjawan 2025.
Malah melihat kepada keprihatinan Anwar, ramai yang mengharapkan Belanjawan 2025 kali ini bakal memberi sedikit kelegaan kepada golongan M40 yang selama ini sering “terlepas pandang” oleh pembuat dasar.
Peningkatan taraf hidup rakyat tidak selamanya harus bergantung kepada bantuan semata-mata namun kadar gaji wajar juga penting bagi memastikan ia mampu menampung kenaikan kos sara hidup.
Ramai penganalisis menjangkakan, kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji minimum baharu petang ini.
Untuk rekod, kadar gaji minimum pada ketika ini adalah RM1,500 bagi majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih.
Selain itu, kerajaan juga perlu menangani isu underemployment (pekerjaan yang tidak sepadan kelayakan akademik) dengan menambah insentif bagi latihan-latihan yang boleh menjana pekerjaan bernilai tinggi terutama di dalam bidang AI, sains dan teknologi sesuai dengan keperluan negara.
Namun begitu, Belanjawan bukanlah hanya sekadar “memberi” tanpa had kerana kerajaan juga harus mengimbangi keperluan pembangunan negara dengan kemampanan fiskal menerusi konsolidasi secara berperingkat.
Apatah lagi Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) menetapkan paras hutang mestilah tidak melebihi 60 peratus daripada KDNK sedangkan ketika ini ia berada pada paras 64 peratus.
“Kerajaan dilihat masih mengutamakan pendekatan kewangan yang berdisplin yang mana defisit fiskal dijangka disasarkan lebih rendah.
“Perkara ini akan menunjukkan tahap displin yg tinggi serta akan menterjemahkan keyakinan para pelabur serta memberi ruang dasar fiskal yang lebih luas pada masa akan datang.
“Defisit fiskal yang kian menguncup akan mengurangkan pertumbuhan hutang dan perkara ini akan membantu dari segi penilaian kredit oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s, S&P dan Fitch Rating.
“Sekiranya, pengurangan defisit fiskal ini berterusan, berkemungkinan penarafan sedia boleh dinaikkan dan ini akan membantu dalam menarik minat pelabur asing.
“Perkara ini juga membantu dalam meningkatkan nilai matawang ringgit, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Dengan kadar 12.6 peratus berbanding KDNK, perolehan cukai Malaysia adalah yang terendah di Asia Tenggara namun kerajaan pimpinan Anwar dilihat lebih berminat untuk melaksanakan penyasaran subsidi berbanding mengutip cukai baharu.
Sehubungan itu, bagi menyokong kemampanan fiskal, kerajaan dilihat akan meminimumkan ketirisan dan dalam masa yang sama meluaskan asas cukai sedia seperti menaikkan duti minuman manis.
Maka, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilihat tidak akan diperkenalkan semula tahun ini meskipun mendapat desakan daripada ramai pakar ekonomi yang mahukan cukai progresif itu menjadi penyumbang kepada pendapatan negara.
Justeru, pengumuman mengenai penyasaran subsidi RON95 dan diesel di Sabah dan Sarawak pastinya akan menjadi tumpuan utama pada pembentangan petang ini.
Apakah kerajaan berani mengambil langkah tidak popular ini sedangkan mereka tahu rasionalisasi subsidi akan menyebabkan kenaikan harga barang dan seterusnya mengundang kemarahan rakyat?
Apa pun, segalanya masih menjadi harapan, ramalan dan jangkaan sehinggalah Menteri Kewangan membentangkan usul tersebut dan mengakhiri ucapan belanjawannya dengan kata-kata keramat “saya mohon mencadangkan.” -MalaysiaGazette