Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyifatkan Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tumpuan kepada usaha mengangkat daya saing negara.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, ia juga mempromosikan pertumbuhan yang inklusif serta melonjakkan tadbir urus.

Menurut beliau, fokus itu seiring dengan komitmen LTAT dalam mencipta nilai jangka panjang untuk negara.

“Dengan peruntukan sebanyak RM440 bilion kepada pasaran modal domestik dan RM120 bilion untuk pelaburan langsung domestik melalui ikhtiar GEAR-uP, LTAT bersedia merebut peluang baharu untuk menyumbang secara signifikan kepada kemampanan ekonomi negara.

“LTAT dan kumpulan syarikat kami beriltizam sepenuhnya untuk menyokong aspirasi Belanjawan 2025 dan sebagai pelabur institusi strategik, fokus kami adalah seiring dengan kepentingan nasional dan matlamat pembangunan utama disamping memastikan masa depan yang lebih makmur untuk para perwira negara kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohammad Ashraf, belanjawan yang progresif  meletakkan asas kukuh bagi kemajuan ekonomi Malaysia dan pihaknya komited memainkan peranan penting mencerna hasil yang positif.

Kata beliau, pihaknya optimis belanjawan kali ini akan mempercepatkan momentum ekonomi, mempromosikan pembangunan mampan dan menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pelaburan.

“Melalui pelaburan strategik kami, LTAT berhasrat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan kritikal yang diimport.

“Pengeluaran insulin dan vaksin halal tempatan oleh Pharmaniaga, sebagai contoh merupakan langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan negara dan ini akan mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia selaras dengan Belanjawan 2025,” ujarnya.

Beliau memberi jaminan LTAT akan terus menghargai pengorbanan angkatan tentera melalui pelaburan yang bijak bagi memastikan kelestarian kewangan para veteran serta pertumbuhan mampan bagi kesejahteraan ahli-ahlinya dan generasi akan datang.

Justeru katanya, LTAT akan terus memastikan kerja keras dan pengorbanan anggota tentera kita diiktiraf melalui strategi pelaburan yang berkesan dan memberi nilai jangka panjang.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here