Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini berpaksikan hala tuju demi memartabatkan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia terbukti melalui keutamaan yang diberikan terhadap kebajikan rakyat melalui tumpuan bantuan khusus kepada golongan rentan.

Selain itu katanya, pendapatan negara juga antara yang menjadi fokus belanjawan tahun depan demi memastikan taraf hidup rakyat bertambah baik.

“Belanjawan kali ini adalah memfokuskan kepada rakyat, berpaksi kepada rakyat untuk mengangkat martabat rakyat dan menjungjung hak rakyat. Fokus keutamaan iaitu kesejahteraan rakyat, perlindungan golongan rentan menambah baik prasarana asas, menangani krisis dan menangani ketirisan iaitu rasuah.

“Fokusnya juga adalah untuk menaikkan siling maknanya menambahkan pendapatan negara supaya kita juga dalam masa yang sama dapat meninggikan lantai (siling) atau meningkatkan taraf hidup rakyat. Iaitu bantuan kepada mereka yang memerlukan, kenaikan gaji dan sebagainya semua diumumkan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Fadillah sebagai menteri yang berperanan menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak gembira dengan peruntukan tambahan yang diberikan kepada kedua-dua negeri Borneo itu.

Ia termasuk peruntukan khas yang ditambah RM300 juta kepada RM600 juta yang disifatkan bakal memberi manfaat terhadap kedua-dua negeri tersebut, katanya.

“Untuk konteks Sabah Sarawak, kita berterima kasih kepada PM dengan pengumuman pertambahan peruntukan sebanyak RM6.7 billion dan RM5.9 billion,” tambah beliau.

Terdahulu Anwar ketika membentangan Belanjawan 2025 pada hari ini mengumumkan peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak antara yang tertinggi berbanding negeri lain iaitu masing-masing sebanyak RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast