Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin bercakap kepada media selepas hadir pembentangan Pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pembangkang menyifatkan Belanjawan 2025 tidak memiliki kerangka dan strategi yang jelas bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh pendek.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin berkata, hanya sedikit angka ekonomi yang disebut di belanjawan itu yang mana ia akan menyukarkan penganalisa pasaran untuk melihat ke mana hala tuju ekonomi negara pada tahun depan.

“Ramai yang tertunggu-tunggu di luar sana di mana penganalisa ekonomi dan penganalisa pasaran pelabur ingin melihat apakah kerangka ekonomi Malaysia untuk tempoh jangka masa pendek pada 2025.

“Dan ke mana kerajaan hendak bawa ekonomi Malaysia pada tahun 2025? Jadi apa selepas kita duduk dengar ucapan selama hampir dua jam 30 minit dan kita lihat bahawa tidak ada satu kerangka dan strategi yang jelas berkaitan dengan ekonomi Malaysia.

“Bagi tahun 2025 ada disebut sedikit data-data ekonomi,” katanya di Bangunan Perlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.

Ia belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Belanjawan 2025 memperuntukan RM421 bilion merangkumi 20.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Perdana Menteri berkata, hasil Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat 5.5 peratus kepada RM339.7 bilion seiring dengan prospek ekonomi 2025 yang dijangka lebih baik, dengan defisit fiskal diunjur pada 3.8 peratus, manakala inflasi di antara dua peratus hingga 3.5 peratus. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here