Keadaan semasa tapak kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Melawati pagi semalam. Foto SADIQ SANI, 16 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Isu banjir dan tanah jerlus sehingga mengorbankan seorang warga India baru-baru diberikan perhatian dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyaluran segera RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kawasan yang terkesan.

Katanya, peruntukan hampir RM600 juta pula disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir.

“Ini termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa,” kata Anwar.

Geran padanan bernilai RM20 juta disediakan segera kepada Yayasan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperhebat tindak balas dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir.

Katanya, RM50 juta disediakan bagi kerja-kerja pembersihan dan naik taraf longkang dan parit.

Bagi memastikan pelaksanaan segera Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pihak Berkuasa Tempatan dibenar untuk melaksanakan perolehan sehingga RM1 juta melalui kaedah sebut harga atau secara undian dalam kalangan kontraktor G1 hingga G3 berdaftar.

Sementara itu, bagi mengawal kejadian tanah jerlus dan cerun runtuh daripada berulang beberapa projek akan dilaksanakan.

Peruntukan RM250 juta untuk membaiki cerun seluruh negara; RM21 juta untuk mengekang isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis.

RM10 juta diperuntuk bagi melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here