Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Kreatif (BeKreatif) menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM30 juta untuk program Belia Kreatif Madani yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Presidennya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, program ini dijangka menarik penyertaan hampir 16,000 anak muda dalam bidang seni, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa belia serta membangunkan sektor ekonomi kreatif yang mampan.

“Inisiatif ini adalah satu langkah proaktif yang sangat dinanti-nantikan dan akan membawa kesan positif kepada pembangunan bakat seni dalam kalangan generasi muda.

“BeKreatif percaya seni bukan sahaja mencerminkan kreativiti dan identiti sesebuah bangsa, bahkan menjadi pemangkin penting dalam pembentukan masyarakat lebih inklusif, berdaya saing, dan berbudaya tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat berkata, sebanyak RM160 juta diperuntukkan bagi mendukung pembangunan industri seni kreatif.

Dana terbabit merangkumi usaha memartabatkan karya seni tempatan termasuk filem ke persada antarabangsa. Terdapat juga peruntukan suntikan ekuiti untuk pihak terpilih.

Peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) ditingkatkan kepada RM65 juta bagi mempromosi karya-karya terutamanya yang berteraskan semangat kenegaraan.

Khairul Rizam yang juga Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan berkata, insentif disifatkan sebagai satu usaha tepat pada masanya untuk menghidupkan kembali minat belia terhadap seni sambil menyediakan platform untuk meneroka peluang dalam industri kreatif.

“Kami turut percaya bahawa program ini mampu mencipta peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu dalam bidang seni seperti seni visual, muzik, teater, animasi, dan produksi filem, yang kini berkembang pesat dengan adanya sokongan teknologi digital.

“Inisiatif ini bakal meningkatkan kesedaran tentang kepentingan seni dalam pembangunan ekonomi negara dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab seni kreatif di rantau ASEAN,” katanya.

Sehubungan itu, BeKreatif turut menggesa para belia untuk merebut peluang ini bagi mengembangkan bakat mereka dan memberi sumbangan kepada industri kreatif negara.

“Dengan adanya pelaburan kerajaan yang berterusan dalam sektor seni dan kreatif, kami yakin bahawa lebih banyak program bimbingan, latihan dan pembangunan bakat akan diwujudkan.

“Ia seterusnya membuka jalan kepada kejayaan generasi seniman muda Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh program bimbingan dan mentorship bersama pemain industri serta pakar teknologi termasuk AI melalui program bimbingan yang disokong oleh kerajaan dan persatuan.

“Ia sekaligus akan memberi peluang kepada belia untuk mendapatkan panduan dan membina rangkaian dalam industri itu,” katanya.

Khairul Rizam berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam pelaksanaan program ini dan memainkan peranan aktif dalam mengasah bakat belia dalam bidang seni, khususnya pengadaptasian teknologi AI selari dengan perkembangan teknologi global.

“Persatuan ini juga akan terus memperjuangkan usaha yang dapat membantu mengembangkan potensi generasi muda dalam pelbagai cabang seni.

“Semoga langkah ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam pembangunan modal insan berteraskan seni dan budaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast