Bot nelayan meletup dan terbakar menyebabkan dua nelayan melecur di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis - Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Dua nelayan cedera dengan seorang daripadanya parah, apabila bot mereka terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 11.55 malam, ketika Mohamad Bakri Idham, 54, dan Nur Azman Sabu, 45, sedang bersiap sedia untuk ke laut.

“Bot fiber tersebut diletakkan berhampiran pelantar sebagai persiapan untuk turun ke laut.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, letupan berlaku sebaik penutup ruangan bateri dibuka, menyebabkan kebakaran yang menyambar kedua-dua mangsa.

“Mangsa, Bakhri melecur 90 peratus, manakala Azman cedera pada 45 peratus bahagian tubuhnya,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, penduduk kampung sedang menguruskan rumah mereka yang dimasuki air akibat fenomena air pasang besar.

Bagaimanapun, kedua-duanya sempat diselamatkan oleh penduduk dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here