Suasana sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 Tahun 2024 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pusat Bahasa dan Budaya Tentera Darat, Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 5 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Maruah dan kedaulatan negara mendapat perhatian dalam Belanjawan 2025.

Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM21.2 bilion iaitu peningkatan RM1.4 bilion berbanding Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.

Anwar berkata, program baharu PROTEGE – Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia terutamanya yang punyai kelayakan TVET.

“Tumpuan khusus juga diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.

“Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan,” kata Anwar dalam pembentangan, hari ini.

Tambah beliau aset perairan akan ditambah dan diselenggara merangkumi perolehan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Ia melibatkan enam kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2; dua Kapal Ronda Generasi Baharu dan sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship.

Sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara antaranya membina baharu dan menaik taraf ICQS di Rantau Panjang dan Bukit Berapit; membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah.

Ia turut meliputi pembekalan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.

Manakala RM1 bilion akan diperuntukan pembangunan pekan-pekan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand serta pembinaan jambatan Rantau Panjang ke Golok dan Pengkalan Kubor ke Tumpat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here