Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperhalusi cadangan menarik subsidi pendidikan bagi golongan pendapatan 15 peratus teratas.

Ia tidak seharusnya mendiskriminasi anak-anak, kata Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan.

Menurutnya, golongan tersebut banyak membantu sekolah ketika dana yang terhad diberikan kepada infrastruktur pendidikan daripada Kementerian Pendidikan.

“Mereka adalah talian hayat kebanyakan sekolah dalam membantu kelompongan bantuan dari pihak kementerian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, dalam  pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kerajaan turut bercadang melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan.

Katanya, penjimatan yang dicapai daripada itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

“Kali ini, golongan M40 pula bakal menerima tamparan hebat. Pada masa yang sama, tempuas rantaian kenaikan barangan bakal berlaku yang akan menyebabkan semua golongan rakyat akan terkesan terutama golongan B40.

“Akibatnya, kos sara hidup yang tinggi bakal mencengkam setiap rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahir berkata, berita baik yang diterima untuk rakyat Malaysia adalah dengan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu berhati-hati agar perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tidak gulung tikar akibat terbeban dengan kenaikan gaji minimum.

“Ia perlu diperhalusi juga agar tiada lambakan pekerja asing yang diambil apabila majikan enggan menggaji tenaga kerja tempatan dengan gaji minimum.

“Belanjawan 2025 perlu menjadi satu belanjawan mesra rakyat demi kesejahteraan semua pihak.

“Kerajaan perlu mengimbangi setiap kesan daripada perkara besar yang diumumkan terutama kepada golongan pertengahan yang kurang mendapat bantuan agar golongan berkenaan atau M40, tidak terjerumus ke dalam golongan miskin, B40,” tambahnya.

Shahir Adnan

Katanya lagi, Belanjawan 2025 perlu adil untuk semua golongan, T20, M40, dan B40.

Jelas beliau, harus diingat golongan B40 perlu dibantu melalui bantuan kerajaan, manakala, golongan M40 perlu diberikan manfaat sewajarnya agar tidak tergelincir jatuh ke B40 dan golongan T20 merupakan pembayar cukai.

“Pendapatan isi rumah purata T20 adalah RM 10,960. Ini bermakna, kiranya suami dan isteri bekerja, pendapatan seorang adalah sekitar RM 5,500. Tidak banyak sebenarnya sekiranya tinggal di Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast