Dua beradik pengarah syarikat Revenue Group Berhad hadir perbicaraan kes pelupusan harta tanpa resolusi ahli lembaga pengarah Revenue Group Berhad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dua pengasas bersama dan bekas pengarah Revenue Group Berhad mengaku berlaku pertelingkahan dalaman antara pengarah syarikat, Datuk Eddie Ng Chee Siong dengan tertuduh, Ng Shih Fang.

Saksi pengadu satu (SP1), Thien Lee Mee, 39, berkata, perkara itu timbul apabila Shih Fang tidak bersetuju dengan cadangan penjualan saham kepada pelabur dan institusi terpilih, bukannya di bursa awam seperti diusulkan Eddie Ng dalam mesyuarat RGB International Bhd pada 4 Januari 2023.

Perkara itu dibangkitkan pasukan pembelaan dengan menyentuh perkara di dalam minit mesyuarat Januari 2023 di mana perkara 4.6 dan 4.7, tertuduh tidak bersetuju dengan cadangan Eddie Ng agar syarikat menerbitkan Private Placement.

Ketika sesi soal balas peguam pembelaan, Tan Sri Dzulkifli Ahmad bertanya berdasarkan minit mesyuarat yang disediakan oleh SP1, yang mana Shih Fang menyatakan alasan dia tidak bersetuju dengan cadangan Private Placement.

SP1 kemudiannya membaca alasan pada perkara 4.6 dan 4.7 dalam minit mesyuarat berkenaan bantahan Shih Fang yang menolak cadangan Eddie Ng hingga menimbulkan kemarahannya.

Shih Fang berpendapat cadangan Private Placement itu akan memberi kesan kepada harga saham syarikat melalui pencairan pegangan sahamnya kerana harga saham syarikat tidak berada pada tahap tinggi dan ia akan mengumpul dana lebih rendah.

“Menurut Shih Fang, dana tersebut tidak diperlukan pada masa ini. Ini kerana hutang terutama berpunca daripada kos bangunan syarikat kerana ia tidak banyak menyumbang kepada pengebilan yang produktif kepada syarikat.

“Justeru, beliau menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan cadangan penempatan swasta tersebut,” katanya.

Peguam Amer Hamzah Arshad dan Dzulkifli Ahmad, yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewakili dua bekas pengarah Revenue Group Berhad pada prosiding perbicaraan kes pelupusan harta tanpa resolusi ahli lembaga pengarah Revenue Group Berhad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

Bagaimanapun, Lee Mee yang juga setiausaha syarikat tidak mahu memberi komen punca pertelingkahan antara Eddie Ng dan Shih Fang.

“Saya tidak dapat komen berhubung sebab pertelingkahan itu kerana keadaan terlalu tegang ketika itu.

“Saya hanya catat apa yang diperkatakan dalam mesyuarat sahaja,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan dua beradik yang juga pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan melupuskan harta tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Revenue Group Berhad, lima tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Ng Shih Chiow, 50 dan Shih Fang, 47 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, mereka yang juga Pengarah Revenue Group Berhad didakwa bersubahat menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad melupuskan harta iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vellfire milik syarikat itu tanpa resolusi ahli lembaga pengarah.

Pelupusan yang dibuat dengan mendaftarkan kereta tersebut atas nama Shih Fang itu didakwa dilakukan mereka di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lot 14264, Jalan Genting Kelang, Setapak, pada 3 Oktober 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan denda, hukuman penjara tidak kurang enam bulan maksimum lima tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Siti Amirah Muhammad Ali dan Mohd Syahzada Azad Sanusi.

Manakala tertuduh diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad dan Dzulkifli Ahmad, yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan seterusnya pada 18 Februari 2025. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here