Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan membatalkan notis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh Toh Puan Na’imah Khalid yang telah menuntut isteri Tun Daim Zainuddin itu membayar tunggakan cukai sebanyak RM313 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Shahnaz Sulaiman menolak semakan kehakiman dikemukakan oleh Na’imah mengikut Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) yang menetapkan semua cukai yang dinilai perlu dibayar pada tarikh yang ditetapkan.

Ini termasuklah sama ada pemohon sedang menunggu rayuan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan atau tidak.

“Dalam akta ini menyebut cukai perlu dibayar dahulu dan pertikai kemudian (pay now, talk later). Sebarang cukai yang dikutip daripada pemohon (Na’imah) boleh dipulangkan oleh LHDN andai rayuannya berjaya.

“Mahkamah tidak nampak adanya keadaan luar biasa dalam kes ini kerana responden (LHDN) diberi kuasa untuk mengutip cukai bawah ACP 1967,” katanya hari ini.

September lepas, Na’imah dalam afidavitnya berkata LHDN melalui notis bertarikh 18 Januari lalu mempersoalkan mengenai kenaikan sahamnya dalam syarikat Ilham Baru Sdn Bhd serta mendakwa beliau menggunakan tiga aset di luar negara yang dibeli menggunakan menggunakan pendapatan tidak dilaporkan.

Beliau didakwa telah menggunakan pendapatan itu untuk membayar pinjaman antara Ilham Baru, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Welberton Private Equity Corp.

Tiga aset tersebut ialah Hotel Nantasket Beach Resort dan sebuah pangsapuri bersebelahan hotel berkenaan di Massachusetts; bangunan pejabat Chauncy Place dan Hotel Buckminster and Annex di Boston yang dianggarkan bernilai lebih RM700.6 juta.

Dakwa Na’imah, responden mengambil nilai pasaran keseluruhan bagi tiga unit aset berkenaan iaitu lebih RM700 juta sebagai pendapatan yang tidak dilaporkan pada tahun 2018, namun pada 13 Ogos lepas, responden mengemukakan Notis Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13.

Beliau juga mendakwa, aset-aset luar negara itu dibeli oleh suaminya pada tahun sekitar 1990 dan beliau tidak mempunyai akses kepada dokumen-dokumen berkaitan kerana aset-aset asing itu diperoleh lebih 30 tahun lepas. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here