Pihak Maritim Malaysia menahan sebuah vesel nelayan tempatan kail mengail Kelas C selepas mengesan aktiviti mencandat sotong kurang 12 batu nautika dari daratan ketika menjalankan Op Makmur pada semalam

KUANTAN- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dipercayai terlibat aktiviti mencandat sotong kurang 12 batu nautika dari daratan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel kail-mengail Kelas C yang sedang bersauh pada kedudukan 7.6 batu nautika dari Pulau Tioman itu dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh tujuh orang kru warganegara Vietnam termasuk tekong berusia antara 33 hingga 56 tahun.

“Vesel dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan mencandat serta hasil sotong segar yang dianggarkan sebanyak 200 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

”Kesemua tekong dan kru memiliki pasport dan dokumen sah,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika bagi bot Zon C.

Maritim Malaysia Negeri Pahang menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut untuk menghubungi Pusat Operasi di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here