Bangunan Kementerian Pengangkutan Malayisa (MOT) di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) komited untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat melalui peningkatan aksesibiliti serta ketersambungan yang lebih baik di seluruh negara.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan, peruntukan sebanyak RM750 juta dalam Belanjawan 2025 bagi tujuan inisiatif pengangkutan awam sejajar dengan matlamat untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Katanya, dengan pengumuman peruntukan itu beberapa inisiatif penting akan diteruskan antaranya Subsidi My50 dan Pas Mutiara yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 180,000 pengguna di Lembah Klang dan Utara menerusi peruntukan sebanyak RM226 juta.

“Subsidi Tren Tidak Ekonomik (TTE) dengan peruntukan RM22 juta untuk laluan Tumpat–Kuala Lipis dan laluan tambahan ke Gemas, meningkatkan ketersambungan antara bandar dan luar bandar serta inisiatif Pas Perjalanan Percuma untuk pelajar dan golongan orang kelainan upaya (OKU) melalui perkhidmatan KTM Komuter dengan peruntukan sebanyak RM3.942 juta,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, MOT berkata, peruntukan lebih daripada RM200 juta bagi Subsidi Perkhidmatan Luar Bandar (RAS) yang menghubungkan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak termasuk laluan baru Kota Kinabalu ke Layang-Layang serta Miri ke Long Banga dijangka memberi manfaat kepada lebih 800,000 penduduk desa pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga memperuntuk RM48 juta untuk Subsidi Tiket Penerbangan Flysiswa dan Musim Perayaan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 160,000 rakyat di Sabah, Sarawak termasuk Labuan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan terus memastikan sistem pengangkutan awam yang cekap, berpatutan dan selesa untuk manfaat semua rakyat.  – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here