Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau bertanggungjawab atas kegagalan syarikat dana strategik negara, SRC International Sdn Bhd (SRC) sehingga kerugian kira-kira AS$1.18 bilion.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam mewakili SRC, Kwan Wil Sen yang dirinya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dalam SRC kerana beliau tidak tahu mengenai aliran keluar masuk dana pada ketika itu.

Namun Najib mengakui dirinya menyesal dengan beberapa perkara yang berlaku dengan penyelewengan dana SRC yang berlaku ketika beliau menjadi Menteri Kewangan merangkap Penasihat Emeritus serta pemegang saham tunggal SRC.

“Saya sebenarnya mempunyai beberapa penyesalan apa yang berlaku dalam syarikat SRC ini tapi ketika itu saya tidak mempunyai maklumat apa sebenarnya berlaku,” katanya ketika memberi keterangan dari kandang saksi dalam prosiding sivil SRC terhadapnya hari ini.

Ketika diasak Wil Sen adakah beliau mendapat manfaat peribadi apabila adanya transaksi wang berjumlah AS$120 juta dipindahkan masuk ke dalam akaun peribadinya, Najib menafikan perkara itu.

Bagaimanapun cadang Wil Sen, Najib telah menggunakan kuasanya untuk keuntungan peribadi dan tidak bertindak secara undang-undang.

“Saya tiada pengetahuan mengenai aliran dana sama sekali, tetapi saya bersetuju sebagai Menteri Kewangan, saya berada dalam kedudukan akauntabiliti.

“Saya tidak pernah sesekali membenarkan transaksi masuk ke akaun saya andai mempunyai pengetahuan apa yang berlaku,” tegasnya.

Ini bukan kali pertama Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan menafikan dana AS$120 juta masuk ke akaun peribadi iaitu Ambank Islamic miliknya sebaliknya menyatakan wang itu adalah derma Arab.

Najib juga menafikan wang AS$120 juta itu datangnya daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Pada prosiding Mac lepas, saksi pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Najib telah menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya, dana melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC daripada KWAP.

Prosiding akan bersambung di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung Isnin depan.

Ketika ini SRC (plaintif) telah menyaman Najib terhadap Najib dan Nik Faisal sebanyak AS$1.8 bilion.

Selain Najib dan Nik Faisal, Datuk Suboh Md Yasin dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Tan Sri Ismee, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here