Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi RON95 itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Jelas beliau, ketika ini, warga asing dan 15 peratus pengguna golongan kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Sedangkan, ujarnya, nilai RM8 bilion dana itu lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

“Namun, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.

“Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat.

“Maknanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Anwar, ketika ini, harga RON95 di negara ini adalah RM2.05 seliter berbanding negara jiran seperti Thailand (RM5.85); Indonesia (RM3.38): Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66).

Bermula 10 Jun lalu, kerajaan menyelaraskan harga diesel mengikut harga pasaran dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 bilion daripada penyasaran subsidi diesel itu dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here