Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas seorang pemandu lori bertindak mengubah haluan secara mengejut di Kilometer 4.8 Lebuh Raya Persekutuan di Klang, Selangor semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 30 tahun, luka di kepala dan lutut kiri selepas terlanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, berkata kejadian berlaku jam 12.30 tengahari ketika mangsa dari arah Shah Alam menghala ke Klang.

“Pemandu lori tersebut didapati telah mengubah laluan dan melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan melanggar pembahagi jalan.

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pemandu lori tersebut masih belum tampil untuk membuat laporan polis dan mengesan sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Surihan Samsuddin di talian 013-2082327 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here