https://www.instagram.com/reel/DBP3inlxA3R/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=MzRlODBiNWFlZA==
NIBONG TEBAL – Meskipun sudah diberi amaran namun masih terdapat segelintir pengusaha ikan akuarium di negeri ini masih degil menjual dan mempamerkan spesies ikan hiasan larangan.
Ketidakpatuhan pengusaha tersebut terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Perikanan Pulau Pinang merampas 50 jenis ikan larangan termasuk udang kara cherax dalam serbuan di beberapa kedai akuarium sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) semalam.
Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata, larangan penjualan beberapa spesies ikan hiasan yang ditakrif mengancam ekosistem hidupan tidak dihiraukan oleh sebilangan pengusaha ikan akuarium negeri ini membuatkan pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Spesies yang dirampas dalam serbuan itu adalah tiga ekor ikan alligator gar, udang kara cherax (9), ikan dari Genus Geophagus (11), ikan pacu (8), ikan peacock bass (4) ikan dari Pimelodidae (2) dan ikan flowerhorn (13). Secara keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM8,800.
“Spesies ikan tersebut dilarang untuk mengimport, menjual, memelihara, mempamer mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB, Bagi Ikan) 1990 (Pindaan 2024) tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Rampasan dibuat selepas advokasi dan penerangan tentang peraturan ini dilaksanakan sejak dari tahun 2021 namun masih ada pengusaha yang ingkar,” katanya kepada pemberita di sini.
Mengulas lanjut Zarina berkata, pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan bagi menjamin kelestarian sungai di negeri ini.
“Kita nak menjaga ekosistem sungai, habitat ikan di perairan supaya keaslian spesies yang ada di sungai-sungai kita tidak terancam kerana ikan larangan ini dia bersifat dominan.
“Kita juga mohon orang awam yang tidak mampu membela ikan larangan tidak menjadikan sungai sebagai tempat buangan sebaliknya tampil secara sukarela dan berikan ikan tersebut kepada Jabatan Perikanan untuk tujuan pelupusan,” katanya. – MalaysiaGazette