Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada pembentangan Pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mendapat peruntukan berjumlah RM11.96 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana memperuntukkan peruntukan tambahan sebanyak RM405.27 dengan kenaikan 3.52 peratus kepada kementerian itu.

“Peruntukan yang diberikan ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar yang akan memberi manfaat kepada 8.1 juta penduduk desa.

“Menerusi peruntukan yang diterima ini akan dapat menjamin kesinambungan projek sedia ada dan juga meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di desa termasuk di kawasan pedalaman, bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi, modal insan, sahsiah dan spiritual.

“Peruntukan ini juga dapat menyokong usaha berterusan KKDW untuk mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya dalam sidang media pasca perbentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Daripada peruntukan RM11.96 bilion tersebut, ia merangkumi RM4.47 bilion peruntukan mengurus melibatkan peningkatan sebanyak RM350.06 juta bersamaan 8.51 peratus dan RM7.49 bilion peruntukan pembangunan melibatkan peningkatan sebanyak RM55.21 juta atau 0.74 peratus.

Ahmad Zahid berkata, KKDW telah menerima peruntukan sebanyak RM2.9 bilion bagi pembangunan dan menaiktaraf infrastruktur asas di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan untuk jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa melibatkan projek membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa termasuk di Kota Belud, Sabah; Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Lipis, Pahang,” katanya.

Selain itu, projek bina dan menaiktaraf jambatan uzur serta pemasangan dan selenggara lampu jalan kampung diteruskan melibatkan peruntukan lebih RM350 juta.

Manakala hampir RM500 juta disediakan untuk projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Elektrik Luar Bandar di Sabah dan Sarawak meliputi 5,150 buah rumah.

Belanjawan 2025 turut meningkatkan peruntukan Risda, Felcra Berhad dan Felda kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada 2024 untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi negara, sekaligus meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.

“Di bawah peruntukan ini, sebanyak RM60 juta diberikan kepada Risda secara geran padanan bagi Program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil bagi menggalakkan pekebun kecil getah menghasil getah lateks untuk memenuhi keperluan industri dan seterusnya mengurangkan import lateks negara.

“Bagi Program Pemerkasaan TVET, GiatMARA dan Kolej Komuniti disediakan sebanyak RM55 juta untuk tempoh lima tahun yang akan memberi manfaat kepada 10,000 anak-anak huffaz dari institusi Tahfiz dan Pondok dengan latihan kemahiran,” kata Ahmad Zahid.

Selain itu, GiatMARA turut menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 orang pekerja gig bagi membantu meningkatkan kebolehan pekerja serta memberi kerjaya yang lebih terjamin. – MalaysiaGazett

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here