Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM10 juta peruntukan tambahan diberi kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sebagai pengambilan perjawatan tambahan untuk 100 orang.

Ia sesuai dengan komitmen kerajaan untuk membenteng keselamatan siber negara dan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata, negara-negara yang mencanang kebebasan keterlaluan kini telah mengambil beberapa tindakan untuk mengekang keterlanjuran, termasuk yang menyebabkan kematian melalui aplikasi media sosial.

“Ancaman siber kini semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan.

“Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata, transaksi mencurigakan lebih RM380 juta berjaya disekat dalam membendung kes penipuan dalam talian ‘scammer’ di Malaysia.

Katanya, meskipun demikian, isu penipuan dalam talian ini dilihat masih parah dengan kes yang kian meningkat.

“Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan RM20 juta,” ujarnya.

Perdana Menteri memberitahu, sebuah portal Fraud Kebangsaan telah diluncurkan sebagai ikhtiar memerangi penipuan dalam talian.

Portal itu katanya, mempermudah pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik.

Tambah beliau, Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah juga telah dipinda bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguatkuasa untuk mengekang sindiket akaun keldai, pada tahun ini.

Beliau turut menjelaskan, bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian akan digubal.

Jelasnya, ia bagi memastikan penyedia perkhidmatan turut bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here