Pasukan Polis menjalankan sekatan jalan raya yang dilakukan di Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku, dan menjalankan pemantauan di sekitar Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran persimpangan Aur Gading, Padang Tengku dalam Op Bersepadu pada semalam.

LIPIS – Polis memberkas seorang lelaki warga tempatan bersama sembilan warga Myanmar dalam usaha membanteras penyeludupan migran dalam Op Pencegahan Bersepadu pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, penahanan warga asing berkenaan membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita berusia 12 hingga 37 tahun ketika sekatan jalan raya dijalankan.

”Semasa sekatan jalan raya dijalankan, pihak polis telah menahan dan memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berusia 25 tahun.

”Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki warganegara Myanmar berada di tempat duduk penumpang hadapan dan empat lagi lelaki warganegara yang sama berada di bahagian penumpang belakang kenderaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis telah menahan sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna hitam yang telah memberhentikan kenderaan di tepi jalan semasa operasi dijalankan.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut daripada dua orang wanita dan dua orang lelaki ketika sekatan jalan raya  yang dilakukan di Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku.

Polis turut menjalankan pemantauan di sekitar Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran persimpangan Aur Gading, Padang Tengku dekat Lipis.

”Kesemua penumpang didapati warga Myanmar dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Susulan itu pihak polis telah bertindak menahan kesemua yang terlibat di kedua-dua lokasi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Nissan Navara berserta kunci dan sebuah kenderaan jenis Honda Accord beserta kunci.

Kes telah disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran Seksyen 26J Atipsom 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6 (1)c (Akta IMG 1959/63) iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah.

Dalam pada itu, sebanyak 29 saman di atas pelbagai kesalahan lalu lintas turut dikeluarkan di dalam operasi tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here