Reptilia hidup termasuk ular dan cicak dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam. - Foto PGA

KUALA LUMPUR – Sebanyak 84 reptilia hidup termasuk pelbagai jenis ular dan cicak bernilai RM302,500 dirampas dalam operasi di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan jam 6.30 pagi itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan selepas anggota Pasukan Gerakan Am, Batalion 9, mengesan beberapa lelaki mencurigakan di tebing Sungai Golok.

“Suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, meninggalkan beberapa kotak.

“Pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi lebih 70 ekor ular, lima cicak jenis Spiny Tailer Monitor, dan sembilan kura-kura yang dipercayai diseludup dari Thailand,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi berasingan di Kampung Lemal, Pasir Mas, PGA merampas pelbagai makanan sejuk beku bernilai RM59,890 selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki, malam kelmarin.

Pemeriksaan mendapati makanan sejuk beku tanpa dokumen sah dipercayai diseludup dari Thailand dan suspek berusia 39 tahun dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk membawa barang runcit itu ke pasaran tempatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here