Lebih 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dan dibawa ke IPK Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diberi peruntukan sebanyak RM25 juta bagi menguruskan golongan kanak-kanak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia susulan Ops Global yang dijalankan pihak berkuasa berkait kes melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ujar beliau, pemikiran dan aliran yang menyimpang daripada Islam yang sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berlaku di negara ini semakin membimbangkan.

“(Sehubungan itu) Usaha bersepadu giat dijalankan bagi mengekang segala aktiviti pemesongan akidah yang kian menular sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam Ops Global sebelum ini, polis menyelamatkan lebih 660 kanak-kanak di rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 559 daripada kanak-kanak terbabit telah mendapat perintah mahkamah untuk mendapat penjagaan dan perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula Oktober hingga Disember ini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, segelintir daripada kanak-kanak yang diselamatkan itu didapati tidak mempunyai kad pengenalan diri serta mengaku tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa atau keluarga.

Dalam perkembangan lain, di bawah perkembangan syiar Islam juga, Anwar berkata, kerajaan akan meluncurkan ikhtiar wakaf al-Quran dengan hasrat mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dengan terjemahan dalan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin dan Sweden.

Jelas beliau, usaha itu akan dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama pihak seperti Yayasan Restu.

Tambahnya, langkah itu juga bagi menyemai kesedaran terhadap Islam rentetan insiden seperti membakar al-Quran di Sweden dan penentangan terhadap Islam yang disebabkan sifat kejahilan yang menebal. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here