KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 bukan sekadar menumpukan pembangunan negara dan kebajikan rakyat malah ia merangkumi semua fasa ekonomi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif yang diumumkan hari ini dilihat berada di landasan yang tepat, selaras dengan rancangan dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Alhamdulillah kalau kita tengok usaha-usaha kerajaan adalah berpaksikan kepada rakyat di mana STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dinaikkan, usaha membantu rakyat menangani masalah hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat juga ditekankan.
“Saya rasa belanjawan ini diterangkumi dengan lebih elok lagi di mana semua fasa dalam ekonomi diberi perhatian dan rakyat diutamakan,” katanya mengulas pembentangan Belanjawan 2025, hari ini.
Jelas beliau, kerangka ekonomi Madani merupakan pendorong utama kerajaan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan bukan hanya pendapatan negara menerusi pelaburan dapat ditingkatkan, malah dalam masa yang sama kemampuan rakyat juga bertambah.
“Dasar-dasar yang kita letakkan dalam bajet tahun ini banyak inisiatif yang diletakkan untuk menarik lebih banyak pelabur dan membuka lebih banyak enjin pemacu kemajuan dalam negara dengan penglibatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) agar lebih ramai orang akan datang menolong merancakkan ekonomi Malaysia.
“Alhamdulillah juga, kalau kita tengok dari segi ekonomi Madani bukan sahaja kita mahu meningkatkan siling tapi kita juga melihat bagaimana untuk meningkatkan martabat rakyat, di mana rakyat akan terperlihara.
“Dalam masa yang sama Belanjawan 2025 bukti kerajaan memikirkan masa depan di mana kerajaan meletakkan kembali pelaburan dalam negara supaya dapat (manfaatnya) akan dapat dikembalikan kepada rakyat,” tambah beliau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 hari ini mengumumkan pertambahan STR tahun depan dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM 10 billion tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan tersebut akan memberikan manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.
Anwar berkata, sebanyak 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000 penerima pada tahun ini. – MalaysiaGazette