KUALA LUMPUR – Keputusan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan di Dewan Rakyat semalam membuktikan blok pembangkang mengamalkan budaya politik bertanggungjawab, matang serta berkredibel dalam mempertahankan kepentingan negara.
Pada masa sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sokongan itu juga bertepatan dengan manifesto PN untuk memberikan hak kewarganegaraan secara undang-undang kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara yang mana ibunya adalah seorang warganegara.
“Kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi yang diberikan oleh mana-mana negara dan sudah tentu, dasar pemberian taraf kewarganegaraan perlu dibuat secara ketat, teliti serta cermat demi memelihara kedaulatan Malaysia.
“Semalam, Perikatan Nasional menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan selepas berpuas hati dengan beberapa pindaan, sekali gus menepati kehendak Majlis Raja-Raja khususnya melibatkan mekanisme kawalan yang diperketatkan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun, tambah Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beberapa teguran membina telah disuarakan oleh ramai Ahli Parlimen PN bagi memastikan mekanisme kawalan dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin oleh kerajaan.
“Sikap ini jelas memperlihatkan Perikatan Nasional bukan sekadar pembangkang tetapi matang dan berjiwa besar dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara,” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat sebaik sahaja sesi penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selesai.
Kelulusan RUU pindaan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan merupakan satu sejarah apabila diadakan undian belah bahagian dengan 206 ahli Parlimen bersetuju, seorang tidak setuju, 14 tidak hadir sementara seorang lagi tidak hadir kerana masih digantung.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya, Saifuddin berkata, RUU pindaan tersebut akan menjadi satu undang-undang yang lebih inklusif, lebih adil serta melindungi hak warganegara Malaysia di mana sahaja mereka berada. – MalaysiaGazette