KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berkompromi dengan premis perniagaan yang gagal mematuhi syarat penggunaan bahasa kebangsaan dan visual yang diluluskan.

DBKL berkata, tindakan akan diambil selaras dengan peruntukan UUK 3(1) dan 3(2) Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 yang menyatakan semua papan tanda hendaklah dipaparkan dalam bahasa kebangsaan.

Dalam masa yang sama katanya, bahasa lain boleh digunakan dengan syarat bahasa kebangsaan diberi keutamaan dari segi saiz dan kedudukan.

Walau bagaimanapun, DBKL menjelaskan jenama syarikat yang didaftarkan di bawah akta-akta berkaitan seperti Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966 tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan.

“DBKL menegaskan tindakan terhadap premis perniagaan yang tidak mematuhi syarat papan tanda perniagaan seperti yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 dan Garis Panduan Pelesenan 2023 akan diteruskan,” kata DBKL menerusi kenyataan.

Menurutnya, kelulusan papan tanda iklan merupakan sebahagian daripada kelulusan lessen komposit yang meliputi lesen premis perniagaan.

Antara syarat penting ialah penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dengan pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta keutamaan diberikan kepada saiz huruf bahasa kebangsaan yang lebih besar berbanding bahasa lain, seperti yang ditetapkan di bawah UUK 3(2).

“Setiap permohonan perlu diproses melalui sistem E-Lesen DBKL dan wajib memenuhi dokumentasi serta syarat yang ditetapkan oleh pihak DBKL,” tambahnya.

Sejak Januari hingga 16 Oktober 2024, sebanyak 20 Notis Kesalahan dan 10 Notis Penguatkuasaan di bawah UUK 3(3) telah dikeluarkan terhadap pemilik
premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada papan tanda iklan mereka.

Selain itu, satu Notis Kesalahan di bawah UUK 3(2) telah dikeluarkan kerana penggunaan bahasa asing yang lebih besar daripada bahasa kebangsaan.

Di samping itu,DBKL juga telah mengeluarkan 211 Notis Kesalahan di bawah UUK 5(1) terhadap pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen yang sah.

“Lokasi yang telah dikenakan tindakan termasuk Jalan Manjalara Idaman 3, Jalan Kampung Atap, Jalan Imbi, Jalan Prima 2, Jalan Kuchai, Jalan Sri Petaling dan beberapa kawasan lain,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, DBKL mengingatkan semua pemilik perniagaan supaya mematuhi peraturan apan tanda bagi memastikan identiti bahasa kebangsaan terpelihara dan persekitaran bandar yang teratur.

“DBKL konsisten melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepatuhan sepenuhnya. Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan yang sewajarnya tanpa kompromi,” katanya lagi.

Dalam perkongsian enam hari lalu, DBKL telah mengambil tindakan di sekitar Bukit Bintang.

Hasil siasatan di Jalan Imbi, lima premis didapati melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan Bahasa Melayu di papan iklan.

Katanya, walaupun peraturan sudah lama diperkenalkan namun masih terdapat premis di sekitar Bukit Bintang yang tak faham atau buat-buat lupa tentang kepentingan Bahasa Melayu.

“Ya, nampaknya mereka lebih gemar mempamerkan bahasa lain. Tak apa, kita bantu ingatkan mereka dengan kompaun dan Notis Penguatkuasaan. Sekarang, mereka ada 14 hari untuk turunkan iklan tersebut, atau tindakan selanjutnya akan menyusul.

“DBKL akan terus pantau dan pastikan premis-premis lain tak ‘terlupa’ pula di masa akan datang. Jika anda ada nampak mana-mana papan iklan yang ‘gagal faham’ peraturan, terus lapor kepada kami di https://adukl.dbkl.gov.my/ .- Malaysiagazette

-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here