Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal untuk tidak mahu menerima gaji sebagai perdana menteri.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam, beliau yang juga Menteri Kewangan kekal dengan keputusan menerusi pelaksanaan Belanjawan 2025.

Beliau turut memberitahu, menteri dan lantikan politik terus kekal dengan pemotongan gaji sebanyak 20 peratus.

Keputusan itu dibuat barisan Kabinet sebelum ini berikutan cabaran ekonomi negara.

Perdana Menteri turut memaklumkan penjawat awam tertinggi juga secara sukarela menolak pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Atas keprihatinan terhadap permasalahan rakyat dan tantangan fiskal yang menghimpit, saya amat berterima kasih kepada Tan Sri KSN dan Tan Sri KPPA, atas kepimpinan mereka, barisan Pengurusan Tertinggi Gred Utama TURUS telah menunjukkan tauladan dan secara sukarela memilih untuk menyumbang balik pelarasan gaji 7 peratus yang ditawarkan di bawah SSPA.

“Sementara itu, menteri-menteri serta lantikan politik juga akan terus membuat pemotongan 20 peratus gaji dan saya sendiri tidak akan menerima gaji,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan 2025, semalam.

Sejumlah RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan bagi Belanjawan 2025.

Menurut perdana menteri, angka itu meningkat 3.3 peratus berbanding RM407.5 bilion yang  diperuntukkan pada Belanjawan 2024 yang disemak semula. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here