Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melahirkan keyakinan Belanjawan 2025 bakal meningkatkan keterangkuman, pengagihan kekayaan yang saksama, dan menangani isu sosial seperti kemiskinan dan ketidaksamaan melalui pertumbuhan ekonomi.

Dalam masa sama, Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Belanjawan 2025 juga dapat memastikan kebajikan rakyat melalui pengurusan fiskal berhemah dan subsidi bersasar.

Sehubungan itu, tambah beliau, MITI akan terus bekerja rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah Belanjawan 2025 berjalan lancar dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dalam memastikan ekosistem pelaburan, perdagangan dan perindustrian terus berkembang pesat.

“Saya optimistik langkah-langkah Belanjawan 2025 mampu meningkatkan lagi momentum pertumbuhan ekonomi negara,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Tambah Tengku Zafrul, MITI menyambut baik langkah menggalakkan pelaburan dalam sektor kritikal seperti semikonduktor, tenaga kerja STEM/TVET dan industri teknologi tinggi melalui insentif pelaburan, galakan cukai, serta pembangunan bakat teknologi.

Ia katanya, termasuk menerusi kerangka insentif pelaburan baharu bernilai RM1 bilion yang menyasarkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan aktiviti bernilai tinggi serta pembangunan bakat teknologi dengan pelaburan besar dalam latihan STEM/TVET dan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, tambahnya, RM200 juta juga disediakan untuk Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan serta menggalakkan pendayaciptaan di bawah #NIMP2030.

Turut disediakan, kata beliau, sebanyak RM40 juta di bawah MATRADE bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di pentas antarabangsa khususnya meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat.

Ujarnya, peruntukan sebanyak RM750 juta juga disediakan kepada EXIM Bank bagi mendorong pengeksport tempatan memperluas operasi ke pasaran luar. (Skim Insentif Pemampanan Pengeksport).

“Belanjawan 2025 itu juga menekankan ekonomi inklusif dan mampan dengan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast