KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Kreatif (BeKreatif) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi peruntukan RM30 juta untuk program Belia Kreatif Madani dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Program ini dijadualkan bermula tahun depan dengan matlamat menarik hampir 16,000 belia untuk terlibat dalam bidang seni, selari dengan hasrat kerajaan memperkasa golongan muda dan membangunkan ekonomi kreatif yang mampan.
Menurut BeKreatif, inisiatif ini adalah langkah tepat dan proaktif untuk memupuk bakat seni generasi muda.
“Seni bukan sekadar medium kreativiti dan identiti bangsa, tetapi juga sebagai pemangkin dalam membentuk masyarakat yang inklusif dan berdaya saing.
“Program ini mampu membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu dalam pelbagai bidang seni seperti seni visual, muzik, teater, animasi, dan produksi filem,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, BeKreatif turut menggesa belia untuk memanfaatkan peluang ini bagi mengembangkan bakat dan memberi sumbangan kepada industri seni negara.
Dengan pelaburan berterusan dari kerajaan, mereka yakin lebih banyak program bimbingan dan pembangunan bakat akan diwujudkan, membuka laluan kepada kejayaan seniman muda Malaysia di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette