Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas dan lima orang anaknya ‘berputih mata’ apabila diperdayakan seorang individu dalam proses sewa beli perumahan PR1MA di Kedah sekitar tahun 2021.

Lebih menyedihkan warga emas itu bersama lima anaknya telah diperdayakan untuk membeli rumah PR1MA setiap unit seorang sehingga mengakibatkan kerugian sekitar RM55,000 yang dibayar sebagai deposit serta fi lain-lain dikenakan wanita tersebut.

Namun apabila rumah itu di Sungai Ular dan Sungai Petani itu siap diduduki sekitar 2024, barulah mangsa dan anak-anaknya menyedari mereka telah diperdayakan oleh wanita tersebut.

Ini kerana kesemua rumah berkenaan sebenarnya sudah ada pemilik.

Mendedahkan perkara itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, mangsa bertemu pihaknya untuk membuat aduan setelah difahamkan laporan polis mereka sebelum ini berstatus tiada tindakan lanjut.

Kata beliau, mangsa cuba berhubung dengan wanita berkenaan bagi tujuan pemulangan balik wang deposit namun diberikan pelbagai alasan termasuklah rumah PR1MA itu masih belum siap dan sebagainya.

“Wanita itu mendakwa dirinya ejen sah PR1MA dengan pejabat di Seberang Perai, Pulau Pinang. Bagi menarik mangsa-mangsa membuat pembayaran deposit, dia mendakwa semua mangsa itu boleh membeli unit-unit dengannya atau perlu menunggu giliran yang akan memakan masa begitu panjang.

“Memandangkan kesemua mangsa datang dari kampung tanpa banyak pengetahuan, wanita itu menyediakan dokumen jual beli dengan logo PR1MA bagi meyakinkan mangsa, kesemua mangsa yang terpedaya juga membayar sejumlah wang menggunakan dana KWSP masing-masing pada masa tersebut.

“Namun apabila sudah begitu lama tanpa khabar berita, kesemua mangsa telah pergi ke lokasi di Sungai Ular bagi melihat sendiri tapak rumah itu, ketika itulah mereka terkejut kerana semua unit sudah ada pemilik. Ketika itulah mereka sedar tertipu,” katanya.

Tambah Hishamuddin, kesemua mangsa juga ada berhubung dengan ibu pejabat PR1MA di Putrajaya dan difahamkan nama masing-masing tidak ada dalam sistem jual beli atau senarai menunggu untuk membeli unit rumah rumah tersebut.

“Kita tampil merayu supaya pihak berkuasa khasnya polis akan dapat menyiasat laporan daripada mangsa mengikut Seksyen 420, jenayah menipu. Perlu siasat andai wujudnya elemen pemerdayaan dan penipuan secara sengaja.

“Harapnya kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pendakwaan seterusnya pelaku itu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Jangan biar terlepas jika adanya bukti penipuan kerana pelaku akan kebal untuk terus menipu lebih ramai mangsa terutamanya mangsa miskin,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here