Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohamad Puad Zarkashi.-Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) menerusi Belanjawan 2025 bagi mengatasi kerenah birokrasi disifatkan tepat pada masa selain amat dialu-alukan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, wakil rakyat kerajaan juga berdepan kerenah birokrasi malah berkemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi mangsa yang sama.

Tegas beliau, kerenah birokrasi juga menjadi punca rakyat terus teraniaya disebabkan masalah yang berlaku tanpa noktah selain menyebabkan ketirisan dan rasuah semakin berleluasa.

“Jawapan standard kerenah birokrasi ialah “kena ikut peraturan”, “tiada peruntukan”, “bukan urusan kami”. Rakyat ditendang ke sana ke mari. Walhal boleh guna “budi bicara” jika komited untuk bantu rakyat,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor turut mengambil contoh bagaimana kerenah birokrasi di  Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) menyebabkan ada permohonan orang asal itu ditolak kerana status MyKad tidak didaftar sebagai Orang Asli.

“Sebenarnya JKOA boleh saja bantu dia didaftar sebagai Orang Asli. Kalau Ketua Kampung dan Tok Batin tidak mahu sokong kerana ada pergeseran peribadi, JKOA boleh sahkan status mereka.

“Pokoknya janganlah kerana birokrasi, masalah rakyat terbantut bertahun tanpa penyelesaian,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta kepada STAR bagi memperluaskan Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi di semua agensi kerajaan.

Ujar Anwar, STAR yang diterajui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi merealisasikan hasrat itu.

Tambah Perdana Menteri, STAR bertanggungjawab menyelaras isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan hospital, kaunter imigresen serta kelancaran urusan perniagaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here