Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk keras pembunuhan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dan menyifatkan percubaan rejim zionis untuk melemahkan tuntutan pembebasan Israel tidak akan berjaya, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Perdana Menteri, Malaysia juga mendesak agar kebiadaban Israel disanggah komuniti antarabangsa dan betapa pembantaian berterusan warga Palestin mesti segera dihentikan.

“Malaysia berduka atas kehilangan seorang sosok pejuang dan pembela rakyat Palestin, Al Syahid Yahya Sinwar yang dibunuh ganas oleh rejim biadab zionis.

“Sekali lagi komuniti antarabangsa gagal memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak lantas memburuk situasi konflik,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Hamas sebelum ini mengesahkan pemimpin mereka, Sinwar yang juga ketua arkitek serangan Palestin pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza terbunuh dalam pertempuran.

Timbalan Ketua Hamas dan Ketua Kumpulan Perunding, Khalil Al-Hayya, berkata, kematian Sinwar, memberi tamparan hebat kepada kumpulan pejuang itu yang menghadapi serangan udara tanpa henti dari Israel sejak Oktober 2023.

Sinwar dinamakan Ketua Utama kumpulan itu pada 6 Ogos lalu sebagai pengganti kepada bekas ketua politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 31 Julai lalu.

Sinwar sejak sekian lama menjadi sasaran Israel yang memburu dan mahu membunuhnya sejak permulaan perang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast