KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan negara-negara kecil supaya memberi perhatian terhadap konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Tegas beliau, konflik yang berlaku di rantau itu jelas menunjukkan sekiranya negara-negara kecil diserang dan rakyatnya dibunuh, tidak ada mana-mana pihak sekali pun yang boleh diharapkan untuk mendapatkan bantuan.
Tambahnya, badan dunia seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) akan bermesyuarat dan resolusi yang baik akan dibuat.
Namun, ujar beliau, negara penceroboh tidak akan mengendahkan resolusi itu serta mengabaikan PBB dan akan terus membunuh rakyat negara kecil yang diceroboh.
“Inilah ‘dunia baharu yang berani’ yang mana ratusan juta nyawa anak muda telah terkorban kerananya,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Ketika ini, konflik di Asia Barat khususnya serangan Israel ke atas Gaza yang sudah mengorbankan lebih 40,000 rakyat Palestin sejak setahun lalu, semakin meruncing dan berisiko merebak serta mengancam keselamatan secara meluas di Asia Barat.
Serangan rejim Zionis ketika ini juga semakin meluas ke wilayah Lubnan dan Syria yang mengakibatkan ratusan rakyat negara itu turut terbunuh.
Ia turut mengheret tindakan ketenteraan oleh Iran dengan tanda-tanda peperangan lebih besar mungkin boleh tercetus, sekali gus meningkatkan ketegangan di Asia Barat. – MalaysiaGazette