Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang menyediakan  respons maklum balas mengenai kejadian banjir kilat di ibu negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbincangan bersama jabatan-jabatan lain telah dibuat untuk mencari ruang bagi penambahbaikan pengurusan bencana dan penyaluran maklumat.

“Kami telah minta semua jabatan-jabatan yang terlibat untuk melihat kembali prosedur operasi standard (SOP) yang ada agar boleh ditambahbaik dan dikemaskini supaya maklumat boleh disampaikan dengan lebih efisien.

“Saya percaya  Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sendiri sudah semestinya telah bersiap sedia dengan langkah yang perlu mereka ambil jika berlaku bencana,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Penghijauan Malaysia dan KL Green Symphony 2024, di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Respons ini bagi mengenal pasti langkah yang boleh ditambah baik daripada kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memberikan nasihat kepada semua masyarakat untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Dengan keadaan iklim yang banyak berubah sekarang ini memang semua orang perlu beri perhatian lebih mengenai amaran yang dikeluarkan dan orang ramai boleh dapatkan maklumat dari laman web MetMalaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here