Mas Imran (tengah tiga kanan) bersama ahli Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Majestic MG bersama kanak-kanak kanser dalam Mini Karnival Anak-anak Kanser di Kompleks Kraf Johor, Larkin, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Kerajaan diharap menyediakan mekanisme terbaik dalam berdepan kenaikan harga barang sekiranya penyasaran subsidi RON95 dilakukan pada pertengahan 2025.

Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berpendapat, mekanisme itu perlu supaya harga barang tidak naik sehingga tidak terkawal sekali gus terus menekan hidup rakyat.

Beliau secara peribadi berkata, jika punca cadangan itu disebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 yang tinggi setiap tahun disebabkan ketirisan maka langkah menanganinya perlu dilakukan.

“Sebelum cadangan tersebut dilaksanakan tahun depan, kerajaan perlu laksana penguatkuasaan untuk membenteras ketirisan contohnya diseludup ke luar negara.

“Penguatkuasaan perlu dilakukan di pintu masuk darat dan udara di kawasan sempadan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan minyak petrol habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Mini Karnival Anak-anak Kanser di Kompleks Kraf Johor di Larkin di sini hari ini anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Semalam, Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, penjimatan yang dicapai itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, kata Anwar, subsidi diesel yang dilaksanakan membawa penjimatan RM4 bilion memberi manfaat kepada rakyat menerusi bantuan tunai Budi Madani berjumlah RM200 sebulan.

Untuk rekod, harga RON95 ketika ini adalah RM2.05 berbanding Thailand (RM5.85), Indonesia (3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66).

Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun lalu mencecah RM20 bilion.

Mengulas lanjut, Mas Imran berpendapat, langkah penguatkuasaan itu dilihat berkesan untuk mengurangkan subsidi yang ditanggung kerajaan sebelum ini.

“Jika subsidi yang tinggi disebabkan faktor seludup keluar, pembenterasan aktiviti ini jika berjaya akan dapat mengurangkan subsidi petrol dan kita tak perlu lagi subsidi yang tinggi,” ujarnya.

Mas Imran percaya akan berlaku kenaikan harga barang dan kerajaan perlu memperkenalkan skim kawalan harga barang dalam usaha mengekang kenaikannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Mohd Ikmal Izam Zaini berkata, seramai 35 kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser terlibat dalam program itu.

Jelasnya, kanak-kanak tersebut yang berusia dua hingga 16 tahun datang daripada keluarga B40 melibatkan pelbagai latar belakang dan kaum.

“Kita tunaikan Impian mereka hari ini dengan memberikan hadiah yang diidam-idamkan seperti basikal dan kereta elektrik,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast