Amran Hafiz Affifudin

KUALA LUMPUR – UEM Group Berhad (UEM Group) mengalu-alukan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan dalam memacu pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Syarikat milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) ini sedang membangunkan taman perindustrian tenaga boleh baharu (TBB) di Gerbang Nusajaya.

Ia dibangunkan oleh UEM Sunrise Berhad selaku sayap pembangunan perbandaran dan hartanah syarikat ini bersama rakan strategik yang lain.

Pengarah Urusannya, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, projek ini akan memainkan peranan utama dalam membangunkan ekosistem TBB dan mencorak pertumbuhan JS-SEZ.

Amran menyifatkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani bernilai RM421 bilion yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan satu langkah progresif ke arah mewujudkan masa hadapan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan buat negara ini.

Tambahnya, UEM Lestra Berhad, sayap industri juga diamanahkan untuk mempercepatkan usaha nyahkarbon kawasan perindustrian.

Taman perindustrian yang lebih hijau dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, sekaligus memacu momentum Malaysia ke arah mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

UEM Group juga menyambut baik pengenalan Program Corporate Renewable Energy Scheme (CRESS), satu anjakan transformatif ke arah akses grid terbuka yang akan memupuk pembangunan pasaran tenaga yang lebih berdaya saing dan mampan.

“Kami turut mengalu-alukan pengumuman projek-projek utama di bawah Pelan Induk
Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030), termasuklah Lebuhraya Bertingkat
Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang.

“Fasa ketiga pelebaran Lebuh Raya Utara Selatan, di bawah seliaan sayap lebuh raya kami, PLUS Malaysia Berhad, juga merupakan inisiatif penting yang boleh menambah baik aliran trafik serta menampung jumlah kenderaandi laluan utama ini yang kian bertambah,” katanya.

Tambah Amran, secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 menyediakan asas kukuh bagi ekonomi yang lebih berdaya tahan dan mampan.

“UEM Group, menerusi rangkaian anak syarikat kami, komited untuk memainkan peranan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang berkaitan, mencipta nilai yang berpanjangan, memperkasa agenda pelaburan tempatan dan mencetuskan impak yang positif buat seluruh rakyat Malaysia merentasi pelbagai sektor selari dengan visi Khazanah selaku pemegang saham kami untuk memajukan Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here