KUALA LUMPUR – Peruntukkan RM10 juta yang diberikan kerajaan kepada Pejabat AI Kebangsaan dan RM50 juta untuk pendidikan kecerdasan buatan (AI) membuktikan komitmen kukuh dalam memajukan dan membentuk bakat mahir dalam bidang tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, peruntukan dalam Belanjawan 2025 dapat mempercepatkan lagi digitalisasi Malaysia dalam penggunaan AI serta memacu pertumbuhan Malaysia sebagai peneraju hab digital di rantau ASEAN.

“Pengumuman itu dibuat pada waktu yang tepat dan selaras dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN 2025.

“Dengan peruntukkan itu, kita dapat mengambil pendekatan untuk menubuhkan Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan (ASEAN AI Safe Network), iaitu cerminan kita terhadap pembangunan AI yang beretika.

“Ini sekaligus dapat menyediakan insentif kepada pelabur tempatan dan asing untuk terus melabur di Malaysia, khususnya dalam aktiviti bernilai tinggi, termasuk perkhidmatan digital dan mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam landskap digital di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejayaan Malaysia menerima pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion daripada syarikat gergasi teknologi dunia seperti AWS, Microsoft, Google, dan Oracle juga telah mencerminkan potensi Malaysia sebagai gerbang masuk peneraju utama dalam ekonomi digital global.

“Belanjawan ini telah dibina atas kekukuhan ekonomi digital Malaysia, dengan pertumbuhan yang dijangka melebihi sumbangan 25.5% kepada KDNK menjelang akhir 2025.

“Hal ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada inisiatif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengadaptasi peralatan digital dalam meningkat produktiviti dan kecekapan operasi bagi membolehkan mereka berkembang di era ekonomi global yang kompetitif,” tambahnya.

Selain itu, Anuar berkata Digital ID yang diperkenalkan juga dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan rakyat dengan kaedah pengesahan identiti dalam talian yang selamat dan dipercayai.

“Ia akan memudahkan akses kepada perkhidmatan digital dan meningkatkan keyakinan terhadap transaksi dalam talian serta mengurangkan penipuan dan meningkatkan ekonomi digital secara keseluruhan.

“Kami juga menyambut baik tambahan RM65 juta untuk Cradle Fund bagi memperluaskan potensi serantau dan global bagi syarikat pemula tempatan, serta geran padanan RM15 juta untuk menggalakkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dansyarikat pemula melalui dana teroka korporat,” kata Anuar. 

Pihaknya akan terus menunjukkan komitmen dan menyokong penuh usaha Kementerian Digital dalam menerajui transformasi digital serta mewujudkan ekosistem digital nasional yang cekap dan selamat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here