Logo Shell

SINGAPURA – Kebocoran minyak daripada saluran paip darat Shell antara Pulau Bukom dan Bukom Kecil, Singapura berlaku pada 5.30 pagi Ahad, dengan tiada penampakan minyak baharu dilaporkan sehingga 6 petang, menurut Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).

MPA yang dimaklumkan mengenai insiden itu pada 1 tengah hari berkata, ia telah mengerahkan tujuh kapal yang dilengkapi bahan penyebar minyak, bersama kapal kontraktornya, Singapore Salvage Engineers.

Pihak berkuasa itu turut mengaktifkan dron dan keupayaan satelit untuk membantu mengesan tumpahan minyak, manakala agensi kerajaan berkaitan telah dimaklumkan dan diarahkan untuk melaporkan sebarang penemuan minyak.

“Kebocoran itu dilaporkan telah dihentikan dari sumbernya. Tiada kesan terhadap keselamatan pelayaran,” menurut MPA dalam satu kenyataan.

Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan MPA mengeluarkan siaran keselamatan navigasi, menasihati kapal yang melalui kawasan itu untuk mengelak kawasan berkenaan.

Sementara itu, Shell memasang boom penahan di sekitar tapak kebocoran dan mengerahkan kapal yang dilengkapi bahan penyebar minyak untuk membersihkan minyak di kawasan berdekatan. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here