Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beramah mesra bersama kanak-kanak autism yang hadir pada Majlis Perasmian Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA’2024) di AEON Alpha Angle Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Karnival Lestari Pendidikan Awal (KLIA) 2024 merupakan program julung kalinya dianjurkan Pusat PERMATA Kurnia (PPK) di Bawah Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menerusi slogan karnival ‘Masyarakat Madani Memperkasa kelestarian Intervensi Awal’ – program tersebut disertai keluarga kanak-kanak PPK, komuniti setempat, komuniti autisme dan keluarga murid-murid sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika berucap merasmikan karnival tersebut mengharapkan agar penganjurannya dapat meningkatkan penglibatan intervensi awal menerusi perkongisan inklusif kepada masyarakat umum.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beramah mesra bersama kanak-kanak yang hadir pada Majlis Perasmian Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA’2024) di AEON Alpha Angle Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.

“Bagi memastikan komitmen ini terus berjalan dengan baik, adalah menjadi harapan saya agar semua pihak dapat memberikan partisipasi dan juga sokongan khususnya kepada komuniti.

“Penglibatan hari ini adalah sangat ramai bukan sahaja daripada agensi tetapi juga daripada rakan-rakan sinergi, NGO, ibu bapa yang pastinya akan dapat meningkatkan lagi bagaimana kita oleh berkongsi pada masa hadapan pengalaman-pengalaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada KLIA 2024, di sebuah pusat beli belah di Wangsa Maju di sini semalam.

“Maka kita perlu memberikan edukasi dan kami juga harap kita boleh berikan kesedaran ini kepada semua orang bukan sahaja kepada ibu bapa yang memerlukan.

“Kita boleh memberikan sokongan tersebut supaya kita boleh menjadikan kanak kanak autisme ini boleh berjaya dalam kehidupan dan menjadi aset negara,” ujarnya.

Dalam memberikan akses pendidikan bagi membentuk keberhasilan murid berkeperluan pendidikan khas, pendekatan dan strategi pembelajaran yang baharu perlu ditambah nilai mengikut peredaran masa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA’2024) di AEON Alpha Angle Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.

Sehingga kini, intervensi dan akses kepada pendidikan inklusif menunjukkan jurang antara kemudahan yang terdapat di bandar dan luar bandar yang seterusnya memberi impak kepada keberhasilan murid berkeperluan khas.

KLIA 2024 berhasrat untuk menjadi platform yang dapat menghubungkan masyarakat umum dengan kaedah intervensi awal autisme bagi menyerlahkan potensi dan kebolehan kanak-kanak autisme.

Selain itu, gambaran yang positif dapat diberikan kepada ibu bapa dan komuniti bahawa individu autisme juga boleh menyumbang kepada kelestarian intervensi awal. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here